TELEKOM Malaysia Berhad (TM) yakin dapat mencapai peningkatan  pelanggan jalur lebarnya kepada dua juta menjelang akhir tahun ini  selari strateginya untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan  kualiti jalur lebar menyeluruh walaupun di luar kediaman.
   Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa  berkata, TM juga sudah menambah bilangan lokasi WiFinya daripada 10,982  lokasi pada akhir 2010 kepada 19,799 lokasi akhir tahun lalu iaitu  pertambahan lebih 80 peratus tahun ke tahun.
Katanya,  jumlah pelanggan jalur lebar pada 2011 pula meningkat 12.3 peratus  kepada 1.92 juta berbanding 1.71 juta pada 2010 dan kerana  itu,  pihaknya komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jalur  lebar di Malaysia.
   “Kami menyasarkan untuk menjadi pemangkin bagi seluruh negara  berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi ke arah gaya hidup digital  yang bersepadu dan sasaran utamanya  untuk meluaskan kepimpinan pasaran  dan memperbaiki kecekapan operasi.
“Malah, menjangkakan  saingan akan meningkat dalam pasaran jalur lebar, terutama ruang jalur  lebar mudah alih dan tetap. Kami juga melihat saingan dalam jalur lebar  tetap yang meliputi gabungan perkhidmatan jalur lebar dan Pay-TV yang  menyasarkan bangunan tinggi utama,” katanya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada 2011 TM sudah berjaya melangkaui liputan kepada 1.1  juta premis sedia dipasang dan syarikat berada di kedudukan yang tepat  untuk mencapai 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2012.
   Zamzamzairani berkata, selari dengan komitmen berterusan TM untuk  menyediakan peluang sama rata dan saksama kepada pembekal perkhidmatan  lain. TM juga sudah menandatangani dengan dua lagi syarikat pencari  akses pada 2011 bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan  tinggi (HSBB) secara pukal.
“Selain itu, TM turut  menandatangani perjanjian perkhidmatan HSBB dengan 11 pemaju hartanah  untuk melaksanakan infrastruktur serta perkhidmatan rangkaian HSBB ke  kawasan pembangunan perumahan yang baru.
   “ICT dan Penyumbangan Luar Proses Perniagaan (BPO) akan menjadi  salah satu fokus strategik syarikat tahun ini selari dengan transformasi  TM untuk menjadi pembekal ICT dan BPO yang disegani, seterusnya ke arah  menjadi pusat data dan kandungan,” katanya.
Beliau  berkata, TM juga mencatatkan jumlah pelanggan tertinggi dalam segmen  HSBB di seluruh Asia Tenggara dan meletakkan kedudukannya sebagai hab IP  serantau pilihan dengan memanfaatkan infrastruktur serta aset rangkaian  globalnya.