Monday, March 19, 2012

Tahniah - JALUR LEBAR MENYELURUH


TELEKOM Malaysia Berhad (TM) yakin dapat mencapai peningkatan pelanggan jalur lebarnya kepada dua juta menjelang akhir tahun ini selari strateginya untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan kualiti jalur lebar menyeluruh walaupun di luar kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, TM juga sudah menambah bilangan lokasi WiFinya daripada 10,982 lokasi pada akhir 2010 kepada 19,799 lokasi akhir tahun lalu iaitu pertambahan lebih 80 peratus tahun ke tahun.

Katanya, jumlah pelanggan jalur lebar pada 2011 pula meningkat 12.3 peratus kepada 1.92 juta berbanding 1.71 juta pada 2010 dan kerana itu, pihaknya komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jalur lebar di Malaysia.
“Kami menyasarkan untuk menjadi pemangkin bagi seluruh negara berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi ke arah gaya hidup digital yang bersepadu dan sasaran utamanya untuk meluaskan kepimpinan pasaran dan memperbaiki kecekapan operasi.

“Malah, menjangkakan saingan akan meningkat dalam pasaran jalur lebar, terutama ruang jalur lebar mudah alih dan tetap. Kami juga melihat saingan dalam jalur lebar tetap yang meliputi gabungan perkhidmatan jalur lebar dan Pay-TV yang menyasarkan bangunan tinggi utama,” katanya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada 2011 TM sudah berjaya melangkaui liputan kepada 1.1 juta premis sedia dipasang dan syarikat berada di kedudukan yang tepat untuk mencapai 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2012.

Zamzamzairani berkata, selari dengan komitmen berterusan TM untuk menyediakan peluang sama rata dan saksama kepada pembekal perkhidmatan lain. TM juga sudah menandatangani dengan dua lagi syarikat pencari akses pada 2011 bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) secara pukal.

“Selain itu, TM turut menandatangani perjanjian perkhidmatan HSBB dengan 11 pemaju hartanah untuk melaksanakan infrastruktur serta perkhidmatan rangkaian HSBB ke kawasan pembangunan perumahan yang baru.

“ICT dan Penyumbangan Luar Proses Perniagaan (BPO) akan menjadi salah satu fokus strategik syarikat tahun ini selari dengan transformasi TM untuk menjadi pembekal ICT dan BPO yang disegani, seterusnya ke arah menjadi pusat data dan kandungan,” katanya.

Beliau berkata, TM juga mencatatkan jumlah pelanggan tertinggi dalam segmen HSBB di seluruh Asia Tenggara dan meletakkan kedudukannya sebagai hab IP serantau pilihan dengan memanfaatkan infrastruktur serta aset rangkaian globalnya.

SUMBER : HARIAN METRO


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Share

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification