Sunday, May 24, 2009

Apakah Saluran Internet Yang Paling Anda Suka ??

Ketahui hak pengguna telekomunikasi

Utusan Malaysia
5 Mei 2003
ms 24
Dalam Neger
KEBANYAKAN kita pasti pernah berdepan dengan pengalaman pahit ketika berurusan dengan penyedia telekomunikasi. Bahkan, kadangkala kita merasakan ia sebahagian daripada persetujuan `secara senyap' dan tiada apa yang dapat dibuat untuk menghalang perkara yang sama daripada berulang.
Sebagai contoh, ada ketikanya kita mendapati bil telefon kita tidak tepat sama ada bil talian tetap, bil telefon bimbit mahupun bil telefon pejabat.
Bagi pengguna prabayar, keadaan ini lebih mengelirukan. Anda membeli sejumlah tertentu kad prabayar dan membuat beberapa panggilan. Dalam beberapa hari anda mendapati baki kad prabayar anda amat jauh berkurangan! Biasanya, anda cuma terfikir ``Adakah saya membuat banyak panggilan?''
Apabila kes seperti ini berlaku, siapa tempat kita mengadu selain daripada penyedia perkhidmatan? Di sinilah pelanggan dan semua pengguna telekomunikasi perlu tahu hak anda sebagai pengguna telekomunikasi yang bijak.
Pada masa lalu, Malaysia hanya mempunyai satu penyedia perkhidmatan. Ketika itu, kerap timbul anggapan bahawa penyedia perkhidmatan lebih berhak berbanding pelanggan. Bagaimanapun, seiring dengan rancangan MSC, Malaysia telah menggubal Akta Komunikasi dan Multimedia 98 (CMA98). CMA 98 mempunyai peruntukan terhadap pelbagai perkhidmatan pemusatan bagi diperkenalkan kepada industri dan negara.
CMA98 juga menerangkan dengan jelas peruntukan bagi anti persaingan, langkah pertama ke arah liberalisasi dalam industri komunikasi.
Sejak itu, lesen penyedia komunikasi lama dikehendaki bergerak ke arah rejim pelesenan baru bagi lesen penyedia kemudahan komunikasi, lesen Individu ASP bagi perkhidmatan sewa dan lesen kelas bagi pelbagai perkhidmatan.
Terdapat juga perspektif baru dalam definasi hak dalam komunikasi. Hak ini boleh dibahagikan kepada hak pengguna, hak penyedia perkhidmatan dan hak kerajaan dan badan-badan kerajaan.
Bagaimanapun, untuk menjadi pengguna komunikasi yang bijak, apa yang diutamakan sudah tentunya mengenai hak pengguna. Di bawah hak pengguna dan hak penyedia perkhidmatan, akta baru ini menggalakkan rejim self-regulation, yang bermakna kerajaan tidak akan lagi mengenakan tindakan atau mengawal segala-galanya.
Di bawah CMA98 baru ini, masyarakat dalam industri ini harus bersama-sama mengatur diri mereka dan bersetuju terhadap apa yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki diri mereka dan pada masa yang sama menjamin dan meningkatkan perkhidmatan pelanggan.
Memandangkan ia telah menjadi peraturan industri, pengguna juga akan memberi input tentang apa yang boleh diterima dan mampu meningkat perkhidmatan pelanggan.
Mari kita teliti dulu mengenai perlindungan terhadap hak pengguna. Untuk sampai ke tahap pertama mengenali hak pengguna, anda perlu melepasi platform. Platform ini disediakan oleh Forum Pengguna Malaysia (CFM) yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Di peringkat ini pengguna dan penyedia perkhidmatan akan cuba untuk menyelesaikan masalah mereka.
Jika peringkat ini gagal, CFM boleh mengemukakan kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) jika tindakan lanjut diperlukan. MCMC akan mengawasi keberkesanan CFM dan menguatkuasakan tanggungjawab pelesenan yang dikenakan ke atas setiap penyedia perkhidmatan.
CFM adalah organisasi yang dianggotai oleh penyedia perkhidmatan dan kumpulan pengguna. Ia turut mempunyai pengurusannya sendiri dan ia menjelaskan kod tata laku bagi penyedia perkhidmatan. Pertubuhan ini mengehendaki penyedia perkhidmatan memberi maklum balas terhadap setiap aduan mengikut prosedur dan rangka waktu yang telah dibentuk dan dipersetujui.
Setiap aduan akan ditangani dan penyedia perkhidmatan , yang menerima aduan mesti memberi maklum balas mengikut jenis kategori aduan tersebut dan rangka waktu yang diberi.
Sebagai pengguna komunikasi, kita sering menghadapi pelbagai masalah berkaitan perkhidmatan komunikasi. Terdapat banyak sebab mengapa kita kerap mengalami masalah ini. Di antaranya mungkin disebabkan kualiti perkhidmatan yang teruk, dan ia tidak memuaskan hati. Ia juga mungkin disebabkan peruntukan perkhidmatan sementara, yang bermakna apabila anda mahu menggunakan perkhidmatan anda tidak memperolehnya.
Dan alasan paling rumit dan kontroversi, percanggahan bil, yang bermakna anda diberi bil yang salah.
Penyebab yang terakhir ini merupakan yang paling banyak diperdebatkan dengan beberapa perkhidmatan prabayar yang terdapat dalam pasaran hari ini di mana pengguna tidak diberi bil. Bagaimana anda dapat mengawasi panggilan dan kosnya, dan bagaimana anda dapat mengesan jumlah prabayar anda berkurangan secara mendadak sedangkan anda tidak membuat banyak panggilan?
Persoalannya, bagaimana anda mahu menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung bayaran panggilan anda. Dengan memahami hak anda, anda mungkin boleh bertanya dengan terperinci bagi mendapatkan penjelasan.
Kita mesti faham bahawa sejak CFM dilantik oleh MCMC sebagai mata dan telinga MCMC dan semua pengguna, kita sebagai pengguna komunikasi yang bijak mesti menggunakan sepenuhnya platform ini.
Untuk mengetahui lanjut mengenai CFM, anda boleh melawati laman web mereka di alamat www.cfm.org.my. Selain membaca dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai hak pengguna, nombor telefon dan alamat CFM juga dinyatakan sekali bagi memudahkan membuat rujukan.
*Alamat Forum Pengguna Malaysia :
Communications and Multimedia Consumer Forum Malaysia (CFM)
Unit 703, Blok A, Kelana Centre Point
3, Jalan SS7/19
47301 Petaling Jaya,
Selangor D.E
Tel: 03- 7805 1800 Faks: 03- 7808 2088
Emel: forguna@po.jaring.my
Nombor telefon dan alamat ini adalah penting untuk setiap pengguna komunikasi. Antara sebab mengapa kita perlu menekankan perkara ini adalah kerana kita membelanjakan purata lima hingga lima puluh peratus daripada jumlah pendapatan bulanan kita untuk komunikasi.
Kesimpulannya, walau apa juga perkhidmatan yang anda gunakan, sama ada prabayar atau perkhidmatan suara atau perkhidmatan telefon bimbit, talian tetap atau talian internet, anda mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penggunaan komunikasi walaupun tiada bil dihantar ke rumah anda. Anda mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan mengapa bayaran komunikasi anda tidak tepat, walaupun mengikut persetujuan tiada bil dikirimkan.
Artikel ini disumbangkan oleh REDtone Telecommunications Sdn. Bhd


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Share

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification